Isnin, 16 November 2009

Mengembalikan Semangat Aminuddin Baki


Apabila sebut sahaja nama Aminuddin Baki sudah pasti mereka yang berumur 45 tahun dan keatas teringat akan jasa serta pengorbanan Allahyarham sebagai seorang yang memperjuangkan pendidikan Melayu. Allahyarham Aminuddin Baki juga sudah pasti tidak dapat dipisahkan dengan Gabungan Pelajar Melayu Semananjung atau ringkasnya GPMS.

GPMS merupakan persatuan pelajar yang tertua dinegara ini yang ditubuhkan pada 14 Ogos 1948. Antara pengasas kepada penubuhan GPMS yang masih ada lagi ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Selepas lebih 60 tahun ditubuhkan pelbagai kemelut serta kisah suka duka dilalui oleh GPMS dan pada 20 November 2009, GPMS sekali lagi akan hangat diperkatakan kerana mengadakan Persidangan Agung Tahunan dan kali ini adalah tahun pemilihan bagi jawatankuasa yang baru.
Apa yang lebih menariknya lagi, PAT GPMS kali ini akan mengguna pakai Akta Belia dan Pertubuhan Belia 2007 antara lain mensyaratkan pemimpin sesebuah pertubuhan belia perlulah mereka yang berumur dibawah 40 tahun.

Sekali pandang rasionalnya amat baik, iaitu menggalakkan pertubuhan belia dipimpin oleh mereka yang benar-benar belia disamping mendidik menjadi pemimpin masa hadapan serta menyemai rasa kebertanggungjawaban individu belia dinegara ini.

Dari aspek lain pula, GPMS sebenarnya akan hilang status persatuan pelajar Melayu kerana ianya dilibatkan dalam akta ini. Akan tetapi sudah pasti ada baiknya sehingga diterima pakai oleh pucuk pimpinan sekarang ini bagi mematuhi peraturan baru kerajaan.

Sayangnya GPMS akan kehilangan kepimpinan yang lama dan setia kepada GPMS sejak dari mereka muda hinggalah bersara, tetap setia dengan GPMS serta terus memperjuangkan empat sedar seperti yang difahami oleh setiap ahli GPMS.

Nama seperti Haji Zainal Noor yang menerajui GPMS Perak sejak 1976 sehingga 2009, Dr Yahya Mat Hasan, Ishak Jonet, Jaafar Bachik, Tan Sri Dr Nordin Kardi, Darwis Lidin dan ramai lagi mungkin tidak dikenali oleh ahli GPMS yang muda-muda ini. Malah mungkin juga yang masih terpinga-pinga apa bila lagu rasmi GPMS dinyanyikan.

Ini kerana sudah semacam budaya dalam berpersatuan dinegara ini cawangan “mee segera”. Bila tiba musim pemilihan serta pertukaran pucuk pimpinan maka akan berkoyun-koyunlah cawangan baru ditubuhkan. Malah drama sebabak ini lebih menjadi lucu apabila diteliti hanya beberapa kerat sahaja ahli yang ditukar nama dan jawatan dalam borang pendaftaran yang dihantar kepada pendaftar pertubuhan belia.

Bagi mereka yang berkepentingan, cawangan mesti banyak dan perwakilan mesti ramai supaya mereka boleh menang bertanding untuk apa sahaja jawatan baik dari presiden sehinggalah pemeriksa kira-kira. Jawatan lebih utama dari tanggungjawab.

Akan tetapi hal ini agak berbeza jika diperhatikan sejarah orang dahulu berpersatuan, pernah dicerita ada yang menolak kerana berasakan diri mereka tidak layak untuk memimpin. Tidak seperti sekarang ini ada pula istilah “calon ditunjuk”. Persoalannya sejauh manakah mereka ini benar-benar ikhlas untuk berjuang demi ahli dan matlamat persatuan atau atas kepentingan peribadi yang gah dengan jawatan.

Bukan untuk memuji atau bermegah-megah, ianya hanya secebis ingatan serta panduan kepada semua perwakilan yang akan menghadiri PAT GPMS yang akan datang.
GPMS Perak boleh dikategorikan sebagai cawangan negeri yang paling kaya, ini kerana bukan banyaknya wang tunai ditangan akan tetapi kesungguhan Haji Zainal Noor memimpin selama lebih 30 tahun membolehkan GPMS Perak memiliki pusat latihan sendiri, beberapa bidang tanah dan lot rumah kedai dan yang terkini GPMS Perak juga memiliki Koperasi sendiri.

Satu-satunya pusat latihan milik GPMS yang dipanggil Institut GPMS terletak di Batu Gajah yang telah melatih puluhan ribu pelajar dan ratusan jenis kursus disini. Semuanya dikendalikan oleh satu unit khas yang dipanggil Biro Badan Bertindak (BBB) GPMS Perak.

Uniknya latihan yang diberikan oleh BBB GPMS Perak, mereka ini benar-benar sukarelawan. Tidak mengharapkan satu sen pun upah atau saguhati, malah perbelanjaan untuk ke Institut GPMS pun ditanggung sendiri. Kerana minat, ilmu serta empat sedar yang sentiasa dihati ahli BBB mereka ini silih berganti memberi khidmat kepada GPMS.

Penerapan nilai kepimpinan, pembudayaan ilmu serta sayangkan agama, bangsa dan negara yang diadun oleh Haji Zainal Noor bersama pengasas BBB Haji Ahmad Dalail Rakim serta Tajul Azmil Mustapa, kebanyakan ahli BBB mendapat ganjaran yang berbaloi dalam kehidupan mereka dengan lain perkataan mereka ini semuanya menjadi “orang”.

Tetapi amat dikhuatiri, apakah masih ada lagi insan-insan seperti mereka yang rela melatih ahli GPMS untuk menjadi sukarelawan sejati dan berkhidmat demi agama, bangsa dan negara.
Persoalan ini timbul, kerana budaya yang dibawa kini agak asing sekali. Perebutan jawatan serta kempen besar-besaran ala pemilihan parti politik mula menular dalam gerakan GPMS. Mampukah pemimpin muda seusia 15 tahun menangkis atau menghindari dari terjebak dengan gaya baru berkempen ini.

Percaturan pencalonan, rayuan meraih sokongan secara terbuka serta budaya yang sememangnya bukan amalan pejuang GPMS terdahulu akan menjadi budaya baru. Maka hilanglah semangat yang dibawa oleh Allahyarham Aminuddin Baki. Secara tidak sedar perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara juga akan turut terhakis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan